BAU, 28 Nov: Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu akan teruskan selagi ia diperlukan dan kerajaan menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang menyatakan demikian menambah, komitmen kerajaan dibuktikan menerusi program yang ditambah baik pada tahun 2010 sejak mula dilaksanakan pada tahun 1960.
Menurutnya, program Pengukuran Tanah NCR 2010 itu membabitkan dua peringkat pelaksanaan.
“Pertama adalah pengukuran secara perimeter dan setelah selesai pengukuran itu, kita (Kerajaan Sarawak) akan mengeluarkan warta, di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
“Peringkat kedua, setelah mereka mendapatkan warta dan mereka mahu disukat secara individu, mereka perlu membuat permohonan dan kerja-kerja penyukatan akan dijalankan secara individu.
“Surat hak milik tanah (kemudiannya) akan dikeluarkan di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Warta Rizab, Komunal Bumiputera Seksyen 6, Kanun Tanah Negeri dan Surat Hak Milik, Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri (Pertanian dan Kampung Tradisi) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru di Dewan Sri Singai di sini, hari ini.
Seramai 956 orang menerima Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri (KTN) meliputi tujuh kawasan DUN Tasik Biru, antaranya, Segong, Senibung, Tanjong Poting, Sibuluh dan Grogo.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Awang Tengah menjelaskan kerja pengukuran tanah NCR tidak dilakukan jika wujud kes pertikaian sempadan tanah yang dilakukan menerusi perundangan.
Katanya lagi, kes tersebut harus ditarik balik atau diselesaikan sebelum boleh menyertai Program Pengukuran Tanah NCR menerusi permohonan baharu yang dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei.
Katanya lagi, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan RM40 juta bagi penyukatan tanah NCR di negeri ini.
Menurutnya, dari tahun 2010 hingga 31 Oktober 2024, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 2.8 juta ekar seluruh bahagian negeri Sarawak.
“Daripada jumlah tersebut seluas 2.28 juta ekar telah pun diwartakan,” katanya.