KUALA LUMPUR, 28 Nov: Kerajaan Persekutuan dan enam negeri yang terjejas akibat banjir sedang bekerjasama rapat bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa terpelihara sepanjang Monsun Timur Laut.
Negeri-negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor, dan Perak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir kini meningkat kepada 37,189 orang daripada 11,385 keluarga di enam negeri tersebut setakat jam 9.32 pagi hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa 323 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di negeri-negeri berkenaan untuk menempatkan mangsa banjir.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta semua jentera termasuk kerajaan negeri yang telah bekerjasama memastikan persiapan lebih teratur pada tahun ini.
“NADMA juga telah diarahkan untuk memperkemas penyelarasan antara jentera agensi Persekutuan dan negeri.
“Ini bagi memastikan keselamatan mangsa banjir serta penduduk di kawasan yang terjejas menjadi keutamaan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut dari November 2024 hingga Mac 2025,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar turut menjelaskan bahawa Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi setakat ini, iaitu seramai 30,582 orang daripada 9,232 keluarga.
“Sebanyak 157 PPS telah dibuka di sembilan daerah di Kelantan,” tambahnya. – TVS