KUALA LUMPUR, 28 Nov: Jumlah mangsa banjir terutama di dua negeri di Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan mendadak pagi ini.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 29,023 berbanding 21,568 yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam semalam.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,698 di 40 PPS, diikuti Tanah Merah seramai 3,224 (22 PPS) dan Kuala Krai seramai 2,826 ditempatkan di 25 PPS.
Selain itu, di Pasir Puteh membabitkan 2,757 mangsa di 16 PPS, Tumpat seramai 2,405 di tujuh PPS, Kota Bharu 2,157 mangsa di 17 PPS, Bachok menempatkan 1,433 orang di enam PPS, Machang seramai 1,750 di 12 PPS dan di Jeli, 773 mangsa berada di enam PPS.
Sementara itu situasi banjir di TERENGGANU juga terus memburuk dengan jumlah mangsa direkodkan meningkat kepada 8,215 berbanding 3,768, 8 malam, semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Negeri memaklumkan daerah paling teruk terjejas iaitu Besut merekodkan 3,205 mangsa daripada 838 keluarga yang berlindung di 51 PPS; manakala Hulu Terengganu mencatatkan 2,039 mangsa (713 keluarga) di 32 PPS.
Di Setiu, seramai 2,022 mangsa (577 keluarga) berada di 28 PPS, di Kemaman 503 mangsa (141 keluarga) di 14 PPS, Dungun 344 mangsa (102) keluarga di lima PPS; manakala di Marang seramai 102 mangsa (27 keluarga) di dua PPS.
Paras air sungai di 13 stesen seluruh negeri juga direkodkan melebihi paras bahaya antaranya Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu, Sungai Besut di Jambatan Jerteh, Besut; Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun, Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu, dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 569 daripada 197 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 52 daripada 16 keluarga, malam tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu dan Sik kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS). -TVS