KUCHING, 28 Nov: Sejumlah RM14.5 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan kolam takungan ketiga di Desa Wira, Batu Kawa yang dijangka siap pada Julai 2026, kata Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa itu mendedahkan pembinaan memakan masa 20 bulan tempoh pelaksanaan itu bertujuan untuk mengurangkan masalah banjir yang telah lama berlarutan di kawasan tersebut serta meningkatkan keberkesanan sistem saliran tempatan.
“Kolam takungan itu dijadual dibina pada 25 November lepas merangkumi kawasan seluas kira-kira lima ekar itu mampu menampung lebih 30,000 meter padu air bersamaan dengan 12,000 kapasiti lori tangki air,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan acara penyerahan surat tawaran oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi kepada kontraktor projek terbabit di sini, pada Khamis.
Menurut Dr Sim, kolam takungan Desa Wira merupakan komponen penting dalam Pelan Mitigasi Banjir Fasa 1 Desa Wira/ Kampung Sinar Budi Baru yang bernilai RM20 juta.
“Ini merupakan pencapaian terakhir bagi fasa ini. Fasa kedua projek mitigasi banjir dengan anggaran bajet RM40 juta dijangka dibuka untuk tender pada tahun hadapan.
“Desa Wira merupakan kawasan rendah yang sedang mengalami pembangunan pesat dantelah lama terjejas oleh banjir teruk semasa hujan lebat.
“Bagi menangani masalah ini, ia memerlukan pendekatan yang sistematik dan menyeluruh, bukannya peningkatan atau projek yang berdiri sendiri,” katanya.
Tegas beliau lagi, gabungan peningkatan saliran dalaman, peluasan saliran luaran dan pembinaan kolam takungan adalah penting untuk mengurangkan risiko banjir dengan berkesan.
“Kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk dan menyokong pembangunan ekonomi yang mampan di rantau ini melalui inisiatif saliran dan mitigasi banjir yang bersepadu ini.
“Inisiatif ini susulan pelancaran dua kolam takungan lain oleh kerajaan di Batu Kawa, MJC New Township dan Pine Square,” katanya.
Untuk rekod, kolam takungan MJC New Township berjumlah RM19.88 juta dijangka siap pada Mei 2026, manakala kolam takungan Pine Square dengan peruntukan berjumlah Rm22.5 juta dijadualkan siap menjelang November 2026. – TVS