KUCHING, 28 Nov: Affin Bank Berhad telah dilantik untuk menguruskan Endowment Fund Sarawak (EFS) 2.0 selama lima tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2029.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pelantikan itu diluluskan kabinet negeri Sarawak, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau berkata satu bengkel akan dilaksanakan bersama Affin Bank, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pelbagai agensi kerajaan Sarawak pada 24 Disember 2024.
“Ini bertujuan bagi memurnikan Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan, pembayaran, pengurusan, promosi dan pemantauan EFS untuk memastikan kelancaran permohonan bermula 1 Januari 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat EFS dan Majlis Penyerahan Surat Lantikan kepada wakil Affin Bank di sini, hari ini.
Tambahnya, kementeriannya telah mengeluarkan surat pelantikan bertarikh 27 November 2024 kepada Affin Bank Berhad untuk mengemukakan deraf perjanjian dan SOP kepada kementeriannya selewat-lewatnya pada 9 Disember 2024.
Pada masa ini, kementerian tersebut dan Affin Bank sedang dalam proses menyediakan perjanjian dan satu majlis menandatangani perjanjian bakal dibuat pada suku tahun pertama 2025.
Bermula 1 Januari 2025, semua permohonan EFS masih kekal dibuat di cawangan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak.
JPN akan menghantar borang permohonan kelahiran tahun 2024 kepada Bank Islam manakala bagi permohonan kelahiran tahun 2025 akan diurus oleh Affin Bank.
EFS merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak dengan pemberian sebanyak RM1,000 dalam bentuk simpanan amanah kepada setiap kelahiran anak Sarawak bermula pada tahun 2019, tanpa mengira bangsa, agama atau status sosioekonomi.
Ia bertujuan untuk membantu anak-anak Sarawak sebagai persediaan bagi melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, memulakan karier atau sebagai modal kecil perniagaan.
Dalam tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Oktober 2024, seramai 124,762 anak Sarawak telah memiliki akaun EFS dengan jumlah peruntukan RM124.7 juta dari Kerajaan Sarawak.
Manakala dalam Belanjawan Sarawak 2025, kerajaan memperuntukkan RM15 juta bagi meneruskan pelaksanaan program itu. – TVS