KUCHING, 28 Nov: Projek Jambatan Sejingkat akan menjadi game changerĀ atau pengubah keadaan kepada masyarakat di Kuching selepas siapnya sepenuhnya pada Disember tahun depan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penduduk di sekitar Kuching, Petra Jaya dan Samarahan mempunyai akses lebih mudah apabila projek bernilai lebih RM365 juta itu siap.
Menurutnya, dengan siapnya jambatan berkenaan, ia akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas memandangkan ada laluan dan jalan baharu dari Samarahan ke Tanjong Bako dengan melalui Jambatan Sejingkat.
“Kita telah mencapai persetujuan dan pemahaman bersama pihak kontraktor dan konsultan agar projek ini dapat disiapkan dengan kadar segera.
“Kedua-dua pihak kontraktor dan konsultan akan merombak semula rangka kerja agar projek ini dapat disiapkan pada Disember 2025,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja projek Jambatan Sejingkat di Kuching pada Khamis.
Menurutnya, jambatan sepanjang 1.28 kilometer dan setinggi 26 meter dari paras air sungai bagi memberi laluan kepada kapal besar mula dibina pada tahun 2021 dan kini berada pada tahap 46.77 peratus siap.
Ia secara tidak langsung menurut Uggah akan merancakkan lagi segmen ekonomi di kawasan tersebut dengan adanya kemudahan jaringan jalan yang akan memudahkan pelbagai aktiviti warga.
Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo.-TVS