LUNDU, 28 Nov: Projek Jambatan Batang Rambungan, Lundu kini sudah berada di tahap 60 peratus dan dijangka siap pada Mei 2027, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau projek pembangunan yang menelan belanja lebih RM82 juta itu kini pada fasa pembinaan menara dan kerja-kerja pemasangan kabel jambatan.
“Projek ini adalah projek sakit dan kita kini kita mempunyai kontraktor penyelamat untuk memulihkannya, dan mereka telahpun mula mengambil-alih projek ini pada beberapa minggu lalu atau pada 19 November lalu,” katanya.
“Ada syarat baharu, di mana apabila kontraktor baharu mula mengambil-alih sesuatu kerja, contohnya mereka ini memulakan kerja pada 19 November, mereka perlu melaksanakan kerja-kerja tertentu di tapak sekurang-kurangnya pada 19 Disember, dan jika tidak, kontrak mereka akan ditamatkan dengan kadar segera. Ini merupakan arahan terkini Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja projek Jambatan Batang Rambungan di Lundu pada Khamis.
Untuk rekod, projek pembinaan jambatan sepanjang 560 meter itu sebelum ini telah dianugerahkan kepada kontraktor tempatan dengan kerjasama syarikat dari China.
Namun, projek yang bermula 17 Disember 2019 dan dijadual siap 16 Disember 2022 mengalami kelewatan disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan tenaga kerja dan kaedah pelaksanaan projek, selain gagal menyiapkan projek mengikut skala jadual yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Justeru, kontraktok penyelamat yang dilantik telah pun memulakan kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut bermula 19 November baharu-baharu ini, bagi meneruskan kerja-kerja untuk menyiapkan projek yang merupakan sebahagian daripada projek Jalan Pesisir Sarawak itu.
Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo. – TVS