KUCHING, 28 Nov: Projek Jalan Matang Baru Fasa Dua kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 13 peratus dan dijangka siap lebih awal daripada jadual asal, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya projek bernilai RM54.59 juta yang meliputi jalan sepanjang 4.4 kilometer bermula dari Matang Jaya ke simpang Jalan Batu Kawa-Matang itu bakal siap siap sepenuhnya pada tahun 2026.
“Macam yang saya sebut tadi, 13 peratus lebih awal daripada yang dijadualkan dan saya berharap peratus siap projek ini akan meningkat kepada 20 ke 30 peratus. Lokasi ini amat sensitif kerana kepadatan penduduknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan kerja kerja ke tapak projek naik taraf Jalan Matang Baru Fasa Dua di Kuching pada Khamis.
Uggah berkata, jalan itu akan dinaik taraf menjadi jalan bandaran yang direka bentuk mengikut standard Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang akan mempunyai jalan raya berkembar.
Sementera itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak, JKR Sarawak dan kontraktor kerana prihatin akan nasib rakyat di kawasan Matang.
“Kita sedar akan cabaran menaik taraf jalan ini, tetapi saya pun selalu memaklumkan kepada Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Timbalan Menteri bahawa jalan ini amatlah sesak dan sering digunakan setiap hari lebih daripada 10,000 pengguna jalan raya dan kita memerlukan jalan ini untuk siap dengan kadar segera.
“Saya pun baharu dimaklumkan bahawa sebahagian daripada jalan ini, dalam dua kilometer, dijangka akan siap pada bulan hadapan (Disember) dan pada masa sama mereka akan menaik taraf jalan bersebelahan,” ujarnya.
Untuk rekod, selepas kontraktor terdahulu gagal menyiapkan projek terbabit pada penghujung 2022, kontraktor penyelamat telah mengambil alih projek naik taraf Jalan Matang Baru Fasa Dua itu.
Di bawah kontraktor penyelamat, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026. – TVS