KUALA LUMPUR, 28 Nov : Kebanyakan insiden banjir kilat di negara ini berpunca daripada masalah kebersihan, terutamanya saliran dan longkang yang tersumbat, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau menegaskan bahawa kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan untuk bersama-sama menangani masalah ini di peringkat komuniti.
“Banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi peringatan penting kerana ia disebabkan oleh saluran yang tersumbat. Jika kita dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kebersihan, ia pasti akan membawa kesan positif,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai perancangan jangka panjang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama agensi kerajaan untuk menangani isu banjir, Aiman Athirah memaklumkan bahawa penggunaan teknologi saliran moden, seperti yang digunakan di Jepun, sedang dipertimbangkan.
“Ia memerlukan perbelanjaan yang besar, namun perkara ini tetap menjadi perhatian kita untuk meningkatkan keberkesanan langkah menangani banjir kilat,” tambah beliau.
Dalam usaha memperkukuhkan pengurusan banjir kilat, kerajaan telah memperuntukkan dana kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan yang dikenalpasti sebagai lokasi tumpuan banjir.
Antara langkah yang sedang dijalankan ialah projek penyelenggaraan kolam takungan banjir dengan peruntukan RM50 juta, serta penyelenggaraan sistem perparitan yang melibatkan kos sebanyak RM20 juta pada tahun ini, jelasnya lagi. – TVS