SARIKEI, 28 Nov: Bunyi bising mengejutkan enam sekeluarga sebelum menyedari berlakunya kejadian tanah runtuh di depan rumah bantuan (PPRT) yang mereka diami di Sungai Kesa, Jalan Baron di sini, semalam.
Bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan selamat dalam insiden kira-kira jam 7.00 malam itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, pada awalnya mangsa terdengar bunyi pergerakan tanah dan selepas diperiksa didapati tebingan tinggi di depan rumah mereka runtuh.
Menurutnya, kesemua mereka bergegas keluar rumah sebelum menghubungi bomba pada jam 7.07 malam untuk mendapatkan bantuan.
“Sebaik sahaja di lokasi, kita mendapati runtuhan tanah pada dinding tepi dan hadapan rumah.
“Pada masa sama, terdapat tunggul kayu dan dua batang sawit menggelonsor bersama tanah dan mengena sisi dan hadapan rumah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mahmudin berkata, kejadian yang dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sekali gus mengancam keselamatan keluarga berkenaan.
“Tindakan Pihak bomba membuat pemantauan dan mengambil maklumat daripada tuan rumah. Kita juga menasihatkan supaya mereka sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya berlaku kejadian berulang,” katanya. – TVS