KUCHING, 28 Nov: Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 2 dijangka mampu membekalkan 200 juta liter sehari (MLD) air terawat selepas siap sepenuhnya.
Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dalam kenyataan hari ini berkata, ia diyakini mampu memenuhi keperluan di Taman Perindustrian Samalaju (SIP).
Menurut kenyataan tersebut, projek berkenaan merupakan inisiatif penting bagi meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 80MLD kepada 200 MLD melalui kerja menaik taraf loji rawatan air.
Pada Khamis, Pengarah Bahagian Pengurusan Projek RECODA, Mohammad Safri Ibrahim dan wakil Bahagian Pelaburan Strategik (SID) Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengadakan lawatan kerja ke tapak projek tersebut.
Lawatan dimulakan dengan pemeriksaan tapak di lokasi cadangan muka sauk berhampiran Rumah Justin Agas, Labang, Batang Kemena sebelum diteruskan ke Loji Rawatan Air Samalaju.
Sepanjang lawatan, satu taklimat projek disampaikan oleh wakil RECODA dan perunding.
Turut hadir Setiausaha Bahagian MOF Datuk Nor Eni Ismail, Pemangku Ketua Penolong Pengarah (Unit Kewangan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak Bata Punjab, wakil Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Laku Management.-TVS