KAPIT, 27 Nov: Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun maut dalam kejadian kereta terperangkap dalam arus deras di Kilometer 4, Jalan Selirik, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi semasa mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya berniaga di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist, Kapit.
“Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan air melimpah ke atas jalan raya.
“Arus deras itu menghanyutkan kenderaan mangsa ke dalam parit berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini
Katanya, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa sekitar jam 7.40 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk di Kapit supaya lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca buruk, terutamanya di kawasan yang mudah dinaiki air.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelakkan kawasan yang berisiko tinggi terjejas akibat banjir. – TVS