KUALA LUMPUR, 27 Nov: Tiada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau keberkesanan penyaluran bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata pemantauan penyaluran bantuan dilakukan secara pentadbiran dan audit oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Tidak ada jawatankuasa, cuma pemantauan dari segi pembaharuan sentiasa dilakukan.
“Misalnya, mereka yang kita rasa tidak lagi perlu menerima, sudah meninggal tapi masih menerima. Ini pernah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) mengenai keperluan Kementerian menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau sistem penyaluran bantuan.
Sementara itu, bantuan kebajikan yang disalurkan melalui JKM adalah berasaskan kelayakan dan keperluan.
Nancy berkata JKM pada masa ini mengguna pakai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebagai antara syarat asas kelayakan permohonan bantuan kebajikan.
“PGK bukanlah satu-satunya ukuran atau penilaian tunggal dalam mempertimbangkan setiap permohonan kebajikan.
“Penilaian lain ini termasuklah aspek sokongan sosial keluarga secara menyeluruh seperti tanggungan keluarga, masalah kesihatan yang kronik, keperluan penjagaan yang rapi seperti OKU, psikososial dan sebagainya,” katanya. – TVS