KUCHING, 27 November: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail mendahului senarai seramai 96 individu menerima Pingat Peringatan Jubli Intan sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.
Penganugerahan bagi Anugerah Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (Emas) itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sini.
Penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan oleh Kerajaan Sarawak kepada mereka yang telah memberikan khidmat bakti serta sumbangan tidak ternilai kepada pembangunan Sarawak sejak era kemerdekaan hingga ke hari ini.
Seterusnya majlis menyaksikan seramai 33 penerima Pingat Peringatan Bakti Jubli Intan (Perak) dan 61 penerima Pingat Peringatan Terpuji Jubli Intan (Gangsa) menerima pingat masing-masing. -TVS