KUCHING, 27 Nov: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan pelaksanaan projek perintis akses air bersih di kawasan luar bandar melalui Projek Perintis Southeast Asia Partnership For Adaptation Through Water (SEAPAW).
Singapore International Foundation (SIF) menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa projek itu adalah merupakan inisiatif pertama SEAPAW di Malaysia Timur yang telah diumumkan pada Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29) di bawah Konvensyen Kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim.
Menurut Pengerusi SEAPAW, Prof. Khoo Teng Chye, projek tersebut bertujuan memperkenalkan sistem penapisan air yang cekap kos dan dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui seperti kuasa hidrokinetik atau sistem fotovoltaik solar untuk menyediakan akses air bersih yang mampan kepada komuniti luar bandar.
“Projek ini adalah usaha kolaboratif untuk menyediakan penyelesaian tempatan yang mampan bagi meningkatkan keselamatan dan daya tahan air.
“Dengan kerjasama erat pelbagai pihak, kami yakin dapat mencapai perubahan bermakna bagi rantau ini,” ujar beliau.
Projek yang melibatkan kerjasama antara Singapore Water Association (SWA) dan Persatuan Air Malaysia Cawangan Sarawak (MWAS) itu bukan sahaja menyokong matlamat PCDS 2030 untuk mencapai liputan penuh bekalan air di Sarawak tetapi juga berpotensi menjadi model bagi wilayah lain.
Pengerusi MWAS, Kelvin Kuek, berkata beliau berharap inisiatif tersebut akan menjadi pemangkin ke arah keselamatan air yang lebih kukuh di rantau ini.
“Kerjasama kami dengan SWA dan SEAPAW menekankan peranan penting kolaborasi serantau dalam menangani cabaran air di Asia Tenggara.
”Projek ini bukan sekadar menyediakan akses air bersih tetapi juga langkah penting untuk membangunkan penyelesaian lestari dan disesuaikan dengan pelbagai komuniti,” katanya lagi.
Selain projek perintis di Sarawak, SEAPAW juga merancang inisiatif lain seperti pertanian mampan dan penyelidikan ketahanan pantai.
Projek-projek itu bertujuan meningkatkan keselamatan makanan, memperkukuh daya tahan komuniti pesisir terhadap perubahan iklim serta memacu pembangunan mampan di rantau ini.
Dilancarkan pada Jun 2024, SEAPAW berperanan sebagai platform untuk menyatukan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penyedia penyelesaian, institusi kewangan, dan pembuat dasar untuk menangani cabaran air dengan cara inovatif dan berskala.
Projek perintis itu adalah selaras dengan aspirasi PCDS 2030 dan memperkukuh peranan Sarawak sebagai contoh ketahanan air dan pembangunan mampan di Asia Tenggara. – TVS