SIBU, 27 Nov: Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM95 juta untuk membina jalan sepanjang kira-kira 14 kilometer untuk menghubungkan tujuh rumah panjang di Batang Lassa, Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata ia adalah usaha berterusan dalam usaha mengubah landskap sosioekonomi Daerah Daro melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan yang berpaksikan rakyat.
Menurut beliau, sebuah sekolah baru juga akan dibina bagi menggantikan SK Batang Lassa yang mengalami masalah hakisan tanah yang serius sehingga boleh menjejaskan kehidupan dan keselamatan pelajar-pelajar di situ.
“Kerajaan telah meluluskan tapak seluas lapan ekar dan juga Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberi peruntukan membina sebuah sekolah baharu yang lengkap dengan asrama dengan keperluan-keperluan lain.
“Sekolah ini kalau ikut perancangan kita ialah RM65 juta termasuk kos pengambilan tanah dan sebagainya. Saya telah difahamkan pampasan yang sewajarnya tanah yang telah kita kenalpasti itu telah dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Program Pemantapan Personel KMKK & Setiausaha JKKK Daerah Daro di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.
Tambahnya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sekolah ini telah menjadi keutamaan untuk dilaksanakan dalam masa yang terdekat.
“Sekolah berasrama ini unik dan apabila dipindahkan ke tempat baharu nanti bekalan elektrik sudah ada dan projek bekalan air sebanyak RM16.5 juta telah diluluskan dan akan dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.
Selain itu, katanya lagi, satu lagi jalan yang diluluskan kerajaan sebanyak RM80 juta juga akan dilaksanakan.
“Di peringkat akhir sekali dimana pernilaian tender dan Insya-Allah akan ditawarkan selewatnya mungkin dalam awal tahun depan untuk perlaksanaanya,” ujarnya.
Safiee berkata, jalan sepanjang 11 kilometer itu akan dibina dari Nanga Singat terus ke Sungai Lengan dan seterusnya juga akan menyambung Jalan Sibu-Tanjung Manis.
“Ini juga akan menambahbaik kehidupan di kawasan ini, jalan ini akan melalui kawasan-kawasan pertanian mereka dan sudah pastinya akan merancakkan aktiviti pertanian mereka.
“Kalau sebelum ini mereka mengalami masalah perhubungan untuk mereka mengusahakan tanah.
“Inilah yang saya lihat satu peluang keemasan masyarakat di kawasan ini perlu memanfaatkan sebaik mungkin supaya pembangunan yang kita bawa ini benar-benar memberi kebaikan meningkatlan taraf kehidupan mereka, selaras dengan usaha kerajaan untuk membangunkan Sarawak sebagai sebuah negeri termaju menjelang 2030,” katanya.