MIRI, 27 Nov: Mengorak langkah sebagai kumpulan kecil selaku pencipta kandungan kini Persatuan YouTuber Sarawak (PYS) menjadi antara pemain penting dalam pembangunan komuniti digital di negeri ini.
Selain mempromosikan budaya dan tradisi Sarawak, persatuan itu juga menjadikan kandungan digital sebagai medium untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat setempat.
Sejak penubuhannya pada 5 Disember 2022, PYS telah mewujudkan platform dinamik yang menghubungkan pencipta kandungan dari pelbagai latar belakang.
Apa yang membezakan PYS adalah fokusnya terhadap impak sosial dengan mengetengahkan keunikan Sarawak kepada dunia, persatuan ini turut menjalankan pelbagai program kebajikan.
Melalui inisiatif seperti bantuan kepada golongan memerlukan, PYS membuktikan bahawa platform digital bukan sahaja alat untuk hiburan tetapi juga wadah untuk menyokong komuniti.
Majlis ulang tahun kedua PYS baru-baru ini menjadi bukti kukuh tentang potensi mereka dalam industri berkaitan.
Sambutan itu bukan sahaja meraikan pencapaian persatuan tetapi juga mengetengahkan visi besar mereka untuk menjadikan Sarawak sebagai hab kandungan digital.
Dengan kehadiran yang semakin kukuh di platform antarabangsa, pencipta kandungan Sarawak kini membawa nama negeri ini ke hadapan, menjadikannya lebih dikenali sebagai destinasi budaya dan pelancongan unik.
PYS sedang mencorakkan masa depan digital negeri ini, membina jambatan antara teknologi dan tradisi sambil memperkasakan komuniti untuk berkembang dalam dunia serba moden. – TVS