JAKARTA, 27 Nov: Rakyat Indonesia keluar mengundi pada Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) 2024 hari ini untuk memilih pemimpin di 435,296 pusat pengundian yang disediakan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
Pilihan raya Indonesia 2024 ini merupakan yang terbesar dalam sejarah demokrasi Indonesia, meliputi 545 wilayah termasuk 37 negeri, 415 daerah, dan 93 bandar.
Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) melaporkan bahawa jumlah pengundi pada tahun ini dijangka seramai 207.1 juta layak memilih pemimpin wilayah termasuk gabenor, bupati dan datuk bandar atau wali kota.
Begitu juga, Presiden Indonesia Prabowo Subianto menggunakan haknya untuk mengundi pada pilihan raya umum hari ini di pusat pengundian rumahnya di Bogor, Jawa Barat.
Selepas membuang undi, Prabowo menyampaikan amanat kepada sesiapa sahaja yang terpilih sebagai bupati agar sentiasa menjadi pemimpin yang mengutamakan kerjasama.
“Ya, dalam setiap pilihan raya ada yang menang dan yang kalah, yang menang mesti menjadi pemimpin untuk semua dan yang kalah mesti bekerjasama menyokong,” katanya.
Tegasnya, mereka yang bakal menjadi pemimpin di seluruh Indonesia perlu bekerja keras untuk rakyat dan berkhidmat kepada rakyat.
Keputusan akhir Pilkada 2024 akan ditentukan oleh KPU dalam menentukan pasangan calon yang menang menunggu keputusan kiraan undi secara berperingkat sehingga keputusan akhir dijadualkan KPU selesai pada 16 Disember 2024 dan pelantikan pemenang akan dilakukan pada 7 Februari 2025.