MIRI, 27 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju pembukaan Sukan SEA 2027 diadakan di Sarawak, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, pembukaan juga akan diadakan secara gilang-gemilang turut dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
“Sekarang selepas Sukan Malaysia (SUKMA), Kuala Lumpur dapat melihat keupayaan Sarawak untuk menganjurkan sukan seperti ini.
“Permintaan kita satu saja, iaitu Pembukaan Sukan SEA mesti diadakan di Sarawak dan ia telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi SUKMA XXI 2024 Zon Utara di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak 1 Datuk Sebastian Chiew Yew, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak 2 Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan lain-lain.
Dalam perkembangan lain, Abdul Karim berkata Kuching, Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama bagi Kejohanan Kriket Antarabangsa Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah 19 Tahun, pada Januari 2025.
Ia akan disiarkan secara langsung kepada lebih 200 juta penonton di lebih 80 buah negara.
Katanya ia akan menjadi salah satu acara besar yang akan melonjakkan imej Sarawak sebagai penganjur sukan antarabangsa. – TVS