KUCHING, 27 Nov: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap penduduk di Rumah Dennis Langok Amang Ulu di Jalan Selirik Kapit yang terkesan teruk akibat dilanda banjir pagi ini.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Lapit berkata beliau dimaklumkan, kawasan rumah panjang ini mula dinaiki air seawal jam 6 pagi dan telah menenggelamkan hampir kesemua kenderaan yang diparkir di kawasan rumah panjang ini.
“Saya dimaklumkan bahawa beberapa rumah panjang di kawasan ini juga telah terjejas akibat hujan lebat yang berterusan, menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan mengancam keselamatan penduduk.
“Rumah panjang ini baru sahaja saya lawati pada September tahun ini bagi meninjau perkembangan Rumah Dennis yang telah dinaik taraf selepas menerima peruntukan sebanyak RM1.3 juta yang diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, beliau lebih pilu apabila seorang mangsa ditemui meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta akibat banjir yang melanda di kawasan itu.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa Bangau Amping, 75, yang merupakan pesara paderi sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya yang berniaga di hadapan SK Methodist, Kapit.
“Saya turut difahamkan, semasa kejadian, air telah melepasi jalanraya akibat dari hujan yang turun sejak malam tadi dan arus kuat telah menyebabkan kereta bersama mangsa dihanyutkan ke dalam parit berdekatan,” ujarnya.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan pasukan Pejabat Parlimen Kapit di kawasan untuk melihat keperluan penduduk terjejas dan menyalurkan bantuan segera yang diperlukan.
Pihak berkuasa tempatan bersama pasukan penyelamat juga sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu penduduk yang terjejas, termasuk usaha-usaha menyelamatkan mereka yang terperangkap dan memastikan keselamatan mangsa.
“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, saya menyeru kepada semua penduduk di Kapit untuk sentiasa berhati-hati dan mengikuti arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama,” katanya.