Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang. Foto Jabatan Penerangan Malaysia

MOSTI: Model kerjasama awam-swasta diteruskan untuk projek pembangunan satelit negara

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) akan terus menggunakan model kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership, PPP) untuk Projek Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN), meskipun tanpa peruntukan khas dalam belanjawan negara.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang, menjelaskan bahawa pendekatan PPP ini memberi peluang kepada sektor swasta untuk terlibat dalam pembangunan teknologi satelit, seterusnya memperkukuhkan industri tempatan melalui pemindahan teknologi dan penglibatan tenaga pakar.

“Pendekatan ini akan membuka peluang kepada sektor swasta untuk terlibat dalam pembangunan satelit dan memastikan penglibatan industri tempatan, khususnya dalam kepakaran sumber manusia dan penggunaan fasiliti teknologi angkasa tempatan. Model PPP ini membolehkan Malaysia memanfaatkan kepakaran dan inovasi sektor swasta serta mengutamakan kandungan tempatan dalam membina keupayaan teknologi satelit negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Kuala Terengganu) yang meminta penjelasan mengenai penggunaan model kerjasama awam-swasta (public-private partnership) bagi projek Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) tanpa peruntukan khas dalam belanjawan negara, memandangkan setakat ini, ia hanya diputuskan sebagai inisiatif kerjasama awam-swasta di peringkat Agensi Angkasa Negara (MYSA).

Chang juga menegaskan bahawa pelaksanaan PSPJN menerusi PPP dapat meminimumkan perbelanjaan kerajaan serta mengurangkan risiko teknologi.

Tambahnya, pendekatan ini memberikan fleksibiliti kepada kerajaan untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan daripada sektor swasta.

“Selain meminimumkan perbelanjaan Kerajaan, pendekatan PPP ini membuka potensi baharu kepada sektor swasta tempatan untuk meneroka bidang seperti pembinaan, pelancaran, dan penyediaan perkhidmatan satelit. Langkah ini berpotensi memacu inovasi, mengkomersialkan hasil satelit, dan menggalakkan penglibatan yang lebih luas dalam sektor angkasa negara,” jelas beliau.

Pada tahun lalu, kerajaan telah meluluskan cadangan Hala Tuju Program PSPJN dengan beberapa penambahbaikan bagi memastikan tahap kejayaan yang lebih tinggi.

Menurut Chang, program ini diharapkan dapat memberikan impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi angkasa serantau.

“Mengambil kira tempoh pembangunan dan pelancaran selama tiga tahun, satelit PSPJN dijangka akan mula beroperasi selewat-lewatnya pada awal 2028. Setelah beroperasi, pembayaran off-take akan dibuat secara berkala berdasarkan jumlah data yang diterima dan diperakui oleh kerajaan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan pembayaran berdasarkan prestasi ini akan memastikan nilai perbelanjaan kerajaan setara dengan data yang diperoleh, sambil mendorong syarikat untuk mengekalkan standard kualiti yang tinggi.

“Keperluan ini akan diperhalusi dengan lebih terperinci bersama syarikat pembida semasa memuktamadkan dokumen perjanjian konsesi,” tambah Chang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan