KUALA LUMPUR, 27 Nov: Malaysia secara rasmi diterima sebagai rakan negara perkumpulan ekonomi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS), kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata kerajaan telah menerima surat daripada perkumpulan itu, baru-baru ini meskipun tidak diwar-warkan secara rasmi.
Jelasnya, status rakan negara itu diberi kerana blok ekonomi tersebut tidak memiliki sebarang prosedur operasi standard (SOP) dalam penerimaan negara anggota baharu.
“Malaysia diterima sebagai rakan negara kerana belum lagi dibuka untuk keanggotaan baharu atas alasan ingin menghadam keberadaan empat negara baharu.
“Mereka tiada SOP kaedah untuk menerima anggota baharu kerana ini blok negara yang longgar,” katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India dan Rusia, baru-baru ini.
Mohamad berkata keputusan itu telah dibuat semasa Sidang Kemuncak BRICS 2024 di Kazan, Rusia pada 22 hingga 24 Oktober lalu.
Tambahnya, beliau telah mengutus surat terima kasih kepada rakan sejawat dari Rusia bagi menghargai pengiktirafan tersebut. -TVS