BINTULU, 27 Nov: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pikap dinaiki dałam kemalangan kendiri di Bulatan Selungun Samalaju di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Eltowriex Herman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.04 malam dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan pikap telah terbabas lebih kurang 70 meter dari jalan raya.
“Terdapat dua mangsa lelaki terlibat iaitu seorang mangsa didapati tidak sedarkan diri telah tercampak dari kenderaan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seorang mangsa telah keluar sendiri dari kenderaan dan hanya mengalami kecederaan pada anggota badan.
“Pihak bomba membuat size up seterusnya bertindak mengangkat mangsa yang meninggal dunia dengan menggunakan pengusung dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital oleh pihak KKM untuk rawatan selanjutnya,” ujarnya.-TVS