Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua PBB seru gencatan senjata segera di Gaza. Foto AFP

Ketua PBB seru gencatan senjata segera di Gaza

ByBernama

NEW YORK, 27 Nov: Sudah tiba masanya untuk gencatan senjata segera di Gaza dan pembebasan tawanan tanpa syarat, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Selasa, sambil menyeru sokongan penuh terhadap bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, lapor Xinhua.

Timbalan Setiausaha Agung PBB, Amina Mohammed menyampaikan perutusan itu pada mesyuarat khas PBB sempena Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, yang disambut pada 29 Nov setiap tahun.

“Setiap tahun pada hari ini, masyarakat antarabangsa bersolidariti bersama rakyat Palestin dalam memperjuangkan maruah, hak, keadilan, dan penentuan nasib sendiri.

“Namun, peringatan tahun ini amat menyedihkan kerana matlamat asas itu masih jauh untuk dicapai.

“Lebih setahun berlalu, Gaza kini musnah, lebih 43,000 rakyat Palestin — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak — dilaporkan terbunuh, dan krisis kemanusiaan semakin memburuk setiap hari.

“Keadaan ini sangat mengerikan dan tidak boleh dimaafkan,” kata Guterres dalam perutusan itu.

Guterres menekankan perlunya gencatan senjata segera, pembebasan semua tawanan tanpa syarat, serta penamatan pendudukan haram ke atas wilayah Palestin, seperti yang disahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Perhimpunan Agung PBB.

Beliau turut menggariskan keperluan untuk mencapai kemajuan ke arah penyelesaian dua negara dan menyeru sokongan penuh terhadap bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, khususnya melalui kerja-kerja Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

“PBB akan terus berdiri bersama rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak dapat dinafikan untuk hidup dengan aman, selamat dan bermaruah,” kata Guterres. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan