Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, pasaran automotif Malaysia adalah antara yang terbesar di rantau ini. Foto: Liew Chin Tong (FB)

Kerajaan sasar kenderaan elektrik (EV) bawah RM100,000 dipasang di Malaysia

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Dasar dan hala tuju kerajaan untuk memastikan kenderaan elektrik (EV) mampu milik dihasilkan di dalam negara terus diperkukuh, dengan penekanan terhadap harga bawah RM100,000 bagi pasaran tempatan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, pasaran automotif Malaysia adalah antara yang terbesar di rantau ini, dengan potensi besar untuk dimanfaatkan bagi pembangunan industri EV tempatan.

“Pasaran automotif di Malaysia adalah besar, dengan jumlah jualan 799,000 unit tahun lalu. Sebagai perbandingan, Indonesia, walaupun memiliki populasi lebih besar, hanya menjual kira-kira 1 juta unit. Oleh itu, kita ingin memastikan kenderaan EV di bawah RM100,000 dapat dijual dan dipasang di negara ini bagi memanfaatkan pasaran yang besar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) mengenai langkah-langkah kerajaan menggalakkan para pemain industri tempatan untuk mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik bagi memenuhi permintaan tempatan terhadap kenderaan elektrik bagi mencapai sasaran SDG 2050.

Beliau menambah, sasaran ini akan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan aktiviti pemasangan kenderaan tempatan (CKD) dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab automotif di Asia Tenggara.

Kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif fiskal bagi menggalakkan pengeluaran EV tempatan, termasuk pengecualan cukai import, eksais, dan cukai jualan untuk EV yang dipasang dalam negara sehingga 31 Disember 2027.

“Pengecualian cukai jalan bagi pengguna EV sehingga 31 Disember 2025.

“Elaun Cukai Pelaburan (Green Investment Tax Allowance, GITA) untuk pengendali stesen pengecasan EV.

“Pelepasan cukai individu sehingga RM2,500 untuk pemasangan atau langganan kemudahan pengecasan EV di rumah sehingga tahun taksiran 2027,” tambahnya lagi.

Liew turut menyatakan bahawa kerajaan mensasarkan pembinaan 10,000 petak pengecasan EV menjelang 2025, selain membangunkan pusat ujian EV dan bateri boleh cas semula di Malaysia.

“Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan pembangunan EV di dalam negara. Pada masa yang sama, standard berkaitan seperti pelupusan bateri, pengecasan tanpa wayar, dan tahap keselamatan lain turut diberi penekanan,” katanya lagi.

Sehingga 30 September 2024, sejumlah 33,319 unit kenderaan jenis berkuasa elektrik (xEV) telah dijual, mewakili 5.11% daripada jumlah jualan tahunan kenderaan di Malaysia.

Dalam tempoh sama, sebanyak 3,354 petak pengecas EV telah dipasang di seluruh negara.
Dengan pelbagai inisiatif ini, Liew optimis Malaysia mampu mencapai sasaran yang ditetapkan dalam National Energy Transition Roadmap (NETR), iaitu 80% daripada jumlah jualan kenderaan baharu terdiri daripada kenderaan elektrik menjelang 2050.

“Usaha kerajaan ini bukan sahaja menyokong agenda hijau, tetapi juga bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri EV serantau,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan