Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan ketika sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

Kerajaan lancar usaha pulih akidah dan bela kebajikan keluarga ahli GISBH

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Kerajaan mengambil langkah serius untuk memulihkan akidah pemimpin dan pengikut Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISBH) yang didakwa terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta membela kebajikan keluarga mereka.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan, program rehabilitasi secara sukarela selama 90 hari telah dilancarkan sebagai projek perintis pada 7 November 2024 di rumah pemulihan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Kerajaan menggunakan modul Istitabah MAIS dalam pelaksanaan program ini. Penilaian dibuat setiap 30 hari bagi memastikan keberkesanan usaha pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azli Yusof (Shah Alam) mengenai tindakan kerajaan untuk memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH yang didakwa terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, serta usaha membela kebajikan keluarga dan memastikan pendidikan anak-anak yang ditinggalkan akibat operasi Op Global.

Jelasnya lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi lain, sedang membangunkan modul pemulihan yang lebih komprehensif.

“Modul ini meliputi pemulihan akidah, syariah, pendidikan, kaunseling, kesihatan, kenegaraan, serta latihan kemahiran untuk membantu mereka kembali ke masyarakat. Johor antara negeri yang telah memulakan program ini di Johor Bahru, Pontian, dan Mersing,” ujarnya.

Kerajaan juga merancang untuk memperluaskan program ini kepada individu yang sedang ditahan, dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi membela keluarga yang ditinggalkan oleh ahli GISBH, Zulkifli menjelaskan bahawa JAKIM bersama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah mengambil langkah untuk memastikan nasib mereka terbela.

“JAKIM, melalui kerjasama dengan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), menyelaras bantuan kewangan kepada keluarga yang layak.

“Bantuan ini termasuk mereka yang tergolong dalam kategori asnaf seperti al-Riqab, fakir, miskin, al-Gharimin, dan fisabilillah,” katanya lagi.

Beliau turut menambah bahawa anak-anak yang berada di rumah perlindungan kini telah menjalani persekolahan secara formal.

“Kerajaan komited untuk memastikan pendidikan anak-anak ini tidak terjejas demi masa depan mereka,” tambahnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan