KUALA LUMPUR, 27 Nov : Dasar Pemetaan Utiliti Bawah Tanah dan pengaplikasian Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kini berada pada peringkat pengemaskinian untuk penambahbaikan, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Menurut beliau, hasil kajian Dasar Pemetaan Utiliti Bawah Tanah akan dibentangkan kepada kementerian berkaitan untuk menentukan hala tuju seterusnya.
“JUPEM melalui Bahagian Pemetaan Utiliti telah melaksanakan Kajian Dasar Pemetaan Utiliti Bawah Tanah, yang kini sedang ditambah baik bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zahir Hassan (Wangsa Maju) berhubung status terkini Dasar Pemetaan Utiliti Bawah Tanah dan juga pengaplikasian Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) oleh JUPEM dan status kemajuan kajian perundangan berkaitan pemetaan utiliti bawah tanah dalam RMKe-12.
di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menjelaskan, PADU yang dibangunkan sejak tahun 2006, memainkan peranan penting dalam pengurusan data dan maklumat pemetaan utiliti bawah tanah di negara ini.
Sistem tersebut merangkumi tujuh kategori lapisan data spatial, termasuk utiliti seperti elektrik, air, gas, pembetungan, dan telekomunikasi.
“Maklumat dalam PADU diperoleh melalui kerjasama dengan agensi pembekal utiliti seperti Indah Water Konsortium, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, dan lain-lain. Data tersebut juga diperoleh daripada Juruukur Tanah Berlesen serta JUPEM sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai kemajuan teknologi, Huang berkata, data PADU dikawal selia menggunakan kaedah pengukuran seperti Ground Penetrating Radar (GPR), Pipe Cable Locator (PCL), dan peralatan Global Navigation Satellite System (GNSS).
“PADU sangat berguna dalam membantu perancangan dan pembangunan kawasan serta sebagai rujukan dalam menangani bencana, khususnya yang melibatkan utiliti bawah tanah,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Huang memaklumkan bahawa data-data di dalam PADU diklasifikasikan sebagai terhad dan tidak boleh dikongsikan kepada umum untuk tujuan keselamatan.
Mengenai kajian perundangan berkaitan pemetaan utiliti bawah tanah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Huang menyatakan kajian tersebut sedang dijalankan oleh JUPEM bermula Ogos 2023 dan dijangka selesai pada Ogos 2025.
“Kajian ini melibatkan beberapa kementerian, jabatan, pihak berkuasa tempatan, pengurus utiliti negeri, serta agensi penyedia utiliti bagi merangka kerangka perundangan yang lebih komprehensif,” tambahnya lagi.
Beliau turut menambah, kajian tersebut turut merangkumi semakan terhadap Perlembagaan dan perundangan sedia ada untuk memastikan pelaksanaannya seiring dengan keperluan pembangunan negara. – TVS