Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Syafie Naswip dan Michelle Lungan pada sidang media Filem Tegkang di Kuching, hari ini. Foto TVS

Filem Tegkang selami budaya, keunikan kaum Kelabit

ByWilly Jali

KUCHING, 27 Nov: Filem Tegkang, sebuah karya yang mengangkat budaya unik kaum Kelabit di Sarawak, bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 November.

Filem tempatan yang berlatar belakangkan kehidupan masyarakat di Bario ini akan membawa penonton untuk menyelami kehidupan harian dan keindahan budaya kaum Kelabit di Sarawak.

Pelakon utama filem Tegkang, Syafie Naswip turut berkongsi pengalaman manis dan pahit dalam menjalani penggambaran di perkampungan terpencil, Bario, Sarawak.

Syafie mengakui filem ini adalah satu peluang untuk penonton mengenali masyarakat Kelabit dengan lebih dekat, salah satu etnik di Sarawak yang kaya dengan adat dan tradisi.

“Bila Tegkang muncul, saya rasa ia satu peluang yang tidak patut dilepaskan. Anak-anak muda zaman sekarang, generasi hari ini, mungkin tidak mengenali atau kurang tahu tentang kaum Kelabit atau budaya.

“Dengan adanya Tegkang, penonton berpeluang belajar tentang bahasa, budaya dan makanan tradisional masyarakat Kelabit. Kaum ini begitu unik, baik dari segi ciri-ciri fizikal mereka mahupun tradisi yang diwarisi.

“Bagi saya, filem ini sangat menyeronokkan kerana memberi peluang untuk mengenali dan berinteraksi dengan mereka. Saya juga berasa sangat gembira diterima baik oleh komuniti Kelabit yang menyambut saya dengan begitu mesra,” katanya pada sidang media Filem Tegkang di sini, hari ini.

Jelas aktor berusia 32 tahun itu, pengalaman menjalani penggambaran di kawasan pedalaman Bario bukanlah sesuatu yang mudah.

Katanya, walaupun berdepan dengan beberapa cabaran, namun dia tetap membulatkan hati demi menjayakan watak Hanafi.

“Walaupun saya menghadapi masalah kesihatan ketika penggambaran, ia tidak menghalang saya daripada menikmati pengalaman tersebut. Saya sangat seronok menjalani penggambaran filem Tegkang di Bario. Tambahan pula, cuaca yang tidak menentu, sekejap panas dan sejuk, serta kurang tidur menjadikan keadaan lebih mencabar.

“Walaupun begitu, suasana di set sangat menyenangkan. Para pelakon, kru, dan pengarah semuanya memberikan semangat yang positif, menjadikan cabaran-cabaran kecil itu tidak lagi terasa berat. Secara keseluruhan, penggambaran ini tetap menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan penuh kenangan manis,” katanya.

Bagi Michelle Lungan, Tegkang bukan sekadar mengangkat budaya kaum di Sarawak, tetapi juga menerapkan banyak nilai murni yang memberi teladan kepada masyarakat.

Pelakon yang mempunyai darah keturunan Kelabit itu meluahkan rasa bangga terhadap sebuah filem yang meraikan budaya dan bahasanya.

“Tegkang bukan sekadar mengangkat budaya kaum di Sarawak, tetapi juga menerapkan banyak nilai murni dalam penceritaannya. Antaranya termasuk nilai berpegang pada janji dan perjuangan untuk kebebasan.

“Filem ini bukan tentang kisah cinta antara lelaki dan perempuan, tetapi lebih kepada kisah yang boleh dikaitkan dengan kehidupan harian kita.

“Filem ini sesuai untuk tontonan umum dan semua peringkat umur boleh menikmatinya. Apabila anda menonton Tegkang, anda pasti akan merasai perasaan yang mendalam terhadap cerita dan mesej yang disampaikan,” ujarnya.

Biarpun digandingkan buat kali pertama, Syafie dan Michelle akui pengalaman yang dimiliki dalam dunia lakonan memudahkan mereka untuk mencipta keserasian dalam menjayakan watak dan menghidupkan jalan cerita dalam filem Tegkang.

‘Tegkang’ diambil daripada bahasa Kelabit yang bermaksud pelangi, menceritakan mengenai kisah persahabatan seorang gadis kampung yang bernama Rinai dan pengunjung luar, Hanafi, yang akan membongkar sebuah rahsia di perkampungan tersebut.

Uniknya, ia diserlahkan dengan perwakilan autentik komuniti Kelabit, melibatkan 99 peratus pelakon tempatan dan menangkap inti pati kehidupan luar bandar Sarawak.

Filem yang diterajui pengarah muda yang berbakat, Josh Nawan, bakal ditayangkan pada 28 November esok di seluruh pawagan di Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan