Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran. Foto fail Jabatan Penerangan Malaysia

Bank wajib bertanggungjawab jika kelemahan institusi sebabkan kehilangan wang pendeposit

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 27 Nov : Institusi perbankan perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kehilangan wang pendeposit sekiranya kejadian tersebut berpunca daripada kelemahan dalam sistem kewangan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, menjelaskan bahawa tanggungjawab ini adalah selaras dengan peranan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam melindungi kepentingan pengguna.

“BNM menetapkan supaya setiap institusi kewangan melaksanakan siasatan secara terperinci dan telus terhadap semua kes penipuan kewangan yang berlaku,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu turut memaklumkan bahawa kerajaan komited untuk menangani peningkatan kes penipuan kewangan yang semakin membimbangkan dengan pelbagai langkah pencegahan.

“Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan (untuk menangani isu ini), tanggungjawab tetap ada pada pemilik akaun.

“Jika mereka terpedaya dan tidak membuat pengesahan, itu menjadi salah satu punca utama. Pengguna juga harus lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan maklumat yang diterima secara dalam talian,” tambah beliau.

Kulasegaran berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang meminta penjelasan mengenai langkah institusi kewangan meningkatkan kawalan dan pengesanan awal terhadap transaksi mencurigakan bagi mengelak aliran wang mangsa penipuan ke akaun penjenayah.

Beliau turut berkongsi data bahawa Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) telah menerima 131,036 panggilan antara 12 Oktober 2022 hingga September lalu, termasuk 52,836 laporan berkaitan kes penipuan dan 78,200 panggilan untuk nasihat.

Dalam tempoh yang sama, pihak polis membuka 15,106 kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk kes penipuan, serta 77 kes melibatkan pengubahan wang haram, dengan jumlah akaun yang dibekukan bernilai RM75.35 juta.

“Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan menyekat 131 nombor telefon yang digunakan untuk aktiviti penipuan, serta menamatkan 112 nombor mencurigakan dalam tempoh tersebut.

“MCMC juga bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk memperkukuh usaha ini,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat), Kulasegaran menyatakan bahawa kerajaan bersedia membawa isu jenayah dalam talian ke Persidangan Kemuncak ASEAN 2025, sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi.

“Perbincangan sudah dimulakan sebelum ini dan akan diteruskan, memandangkan jenayah dalam talian bukan hanya melibatkan Malaysia, tetapi menjadi masalah global,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan