KUALA LUMPUR, 27 Nov: Sebanyak RM255,000 akan disalurkan kepada 850 pelajar asnaf dari 34 kampus UiTM di seluruh negara di bawah Projek Tajaan Wang Saku Mahasiswa UiTM yang bertujuan untuk meringankan beban pelajar asnaf selain memberi peluang meneruskan pengajian.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi yang juga Menanggung Tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan, Nor Haimee Zakaria berkata Bank Rakyat sentiasa berusaha dalam memperkasa komuniti asnaf secara holistik dan mampan.
“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan yang berlandaskan prinsip keprihatinan dan tanggungjawab sosial, Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memberi impak positif kepada masyarakat, terutamanya kepada golongan sasar.
“Pendidikan adalah asas bagi membina masa depan yang lebih baik dan Bank Rakyat bersama seluruh cawangan di Malaysia, komited untuk terus bekerjasama dengan UiTM dan 34 kampusnya di seluruh negara bagi memastikan bantuan serta sokongan dapat disalurkan secara efektif kepada pelajar yang benar-benar memerlukan demi menjayakan usaha murni ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Hasil kerjasama erat antara Bank Rakyat dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM yang bermula sejak 2021, memorandum perjanjian (MoA) telah dimeterai dan telah melaksanakan program korban yang bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta bagi menunaikan ibadah korban sambil bersedekah.
Sebahagian daging korban diproses menjadi makanan retort dan diagihkan kepada mahasiswa memerlukan, dengan kerjasama Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM dan Bank Rakyat Cawangan Vista Alam.
Bank Rakyat dan UiTM sebelum ini turut menjalin kerjasama menerusi inisiatif ‘Graduate Mentoring Program’ sebagai usaha untuk memperkasa graduan ke arah keusahawanan dengan peruntukan dana sebanyak RM50 juta yang menyediakan kemudahan modal perniagaan sehingga RM100,000 termasuk modul latihan merangkumi kursus keusahawanan, pengurusan perniagaan dan strategi pemasaran serta program latihan inklusif secara ‘hands-on’.
Program Bank Rakyat UNIpreneur pula, memfokuskan pembangunan usahawan asnaf dalam kalangan pelajar.
“Program ini bermula pada tahun 2021 sebagai program rintis dengan kerjasama antara Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM yang telah memperuntukkan sebanyak RM20,000 keseluruhannya kepada seramai 10 pelajar untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Bermula pada 2022 sehingga 2024, program ini diperluaskan dengan kerjasama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM dengan menawarkan sokongan kewangan dan latihan yang lebih intensif dengan kos sebanyak RM285,500 kepada 86 pelajar bagi bantuan dana serta modul pembangunan keusahawanan”, ujarnya. – TVS