KOTA KINABALU, Nov 26: Sidang Kemuncak Perniagaan Malaysia-Sabah-China selama tiga hari melabuhkan tirai, menandakan kejayaan usaha memperkukuh hubungan antara Sabah dan China serta mencipta peluang kerjasama baharu.
Acara yang yang berlangsung dari 22 hingga 24 November berjaya menarik penyertaan pelabur, usahawan, dan pemimpin budaya dari China, sekali gus mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan, kehidupan berkualiti dan pertukaran budaya.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, Sabah mempunyai daya tarikan yang kuat untuk menarik pelabur antarabangsa, khususnya mereka yang pertama kali melawat Malaysia.
“Apabila pelabur datang ke Sabah, mereka memilih destinasi yang menawarkan kualiti hidup yang tinggi. Kota Kinabalu, misalnya, terkenal dengan pemandangan matahari terbenam, pulau-pulau yang cantik, dan Gunung Kinabalu,” katanya kepada media selepas majlis penutupan acara tersebut.
“Mereka (peserta sidang kemuncak dari China) memaklumkan kepada saya bahawa Sabah adalah destinasi yang menarik dengan kualiti hidup yang baik, makanan yang lazat dan budaya yang unik. Penduduk di sini sangat mesra. Gabungan ini menjadikan Sabah kompetitif dan mereka kini berminat untuk memulakan perniagaan dan aktiviti pembuatan di sini,” katanya.
Jelas Phoong, sidang kemuncak ini bukan hanya tentang menandatangani perjanjian, tetapi mencipta peluang baharu, di mana usahawan tempatan boleh belajar dan berhubung dengan usahawan dari China.
Tambah beliau, Kerajaan Sabah sedang giat memposisikan wilayah itu sebagai hab pembuatan dan perdagangan, selain dikenali sebagai destinasi pelancongan.
“Sabah bukan hanya destinasi pelancongan tetapi juga hab pembuatan dan perdagangan. Dunia kini melihat Sabah sebagai lokasi yang sesuai untuk melabur, menetap, berimpian, dan berjaya,” katanya.
Sidang kemuncak itu diserikan dengan persembahan kebudayaan yang berwarna-warni, menggambarkan kepelbagaian budaya Sabah serta menonjolkan tema pemeliharaan budaya dan integrasi yang menjadi teras acara ini.
Majlis penutupan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.
Sabtu lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam ucapan perasmaian acara tersebut berkata China kekal sebagai rakan niaga utama Sabah, dengan eksport melebihi RM7 bilion dan pelaburan dalam pelbagai sektor yang mencipta peluang pekerjaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa eksport Sabah ke China mencecah RM7.6 bilion tahun lalu, iaitu 19.5 peratus daripada jumlah perdagangan negeri. Eksport utama Sabah ke China termasuk minyak sawit, kayu, makanan laut, dan getah, manakala import dari China terdiri daripada mesin, elektronik, dan barangan buatan.
Hajiji berkata, pelaburan China dalam sektor pertanian, akuakultur, dan infrastruktur terus berkembang, mencerminkan hubungan jangka panjang yang saling menguntungkan antara Sabah dan China. -TVS