KUALA LUMPUR, 26 Nov: Sebanyak RM228.2 juta nilai dadah telah berjaya dilupuskan setakat Oktober tahun ini, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Proses pelupusan ini dijalankan mengikut prosedur ketat seperti yang ditetapkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara Bahagian D207.
“Untuk makluman Yang Berhormat, bagi tahun 2024 ini setakat bulan 10, nilai dadah yang kita telah lupuskan ialah RM228.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Kamal Ashaari (Kuala Krau) mengenai SOP kerajaan dalam menghapuskan dadah-dadah yang dirampas daripada ops dan serbuan, dan apakah langkah yang diambil bagi menangani kes penyeludupan dadah yang berlaku di dalam pusat-pusat tahanan.
Menurut Saifuddin, dadah yang dilupuskan mestilah memenuhi syarat tertentu, termasuklah siasatan dan perbicaraan kes yang telah selesai.
Arahan pelupusan hanya akan dikeluarkan oleh mahkamah atau Timbalan Pendakwa Raya selepas kes dimuktamadkan.
“Seterusnya, Jawatankuasa Pelupusan Barang Kes akan mengambil alih tugas pelupusan tersebut, yang buat masa ini diketuai oleh pegawai polis berpangkat Superintenden. Proses pelupusan melibatkan lokasi khusus seperti Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, dan dijalankan oleh Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd,” jelas beliau.
Proses ini turut dipantau rapi dengan kehadiran wakil media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.
Mengulas mengenai insiden penyeludupan dadah di pusat tahanan, Saifuddin menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil langkah tegas bagi mengawal situasi tersebut.
“Kita perketatkan prosedur di pusat tahanan. Pemeriksaan dilakukan seawal hari pertama kemasukan tahanan, semasa lawatan ahli keluarga, dan secara harian di sel atau bilik tahanan. Tiada hari tanpa pemeriksaan rapi,” tegas beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa penyeludupan dadah kini semakin canggih dengan penggunaan dron. Tahun ini sahaja, sebanyak 55 kes melibatkan penghantaran dadah melalui dron telah dikesan, dengan penjara Tapah dan Alor Setar menjadi lokasi paling terjejas.
“Bila kita ketatkan pemeriksaan, mereka hantar guna dron. Buat masa sekarang semuanya kita dapat kesan, tiada yang bolos. Kita juga sedang mempertimbangkan pemasangan sistem anti-dron, termasuk pasukan penembak khas untuk memusnahkan dron,” ujar Saifuddin.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kekangan kewangan menjadi cabaran dalam melaksanakan langkah-langkah seperti pemasangan CCTV dan ‘portable drug detector devices’.
“Kami akan terus meningkatkan kerjasama antara Polis, Jabatan Penjara, dan agensi lain untuk memastikan keselamatan di pusat tahanan sentiasa terjamin,” tambah beliau. – TVS