MIRI, 26 Nov: Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) memaklumkan bahawa Persidangan Pengurusan Minyak Sawit, Teknologi dan Pameran (POMtec) 2025 bakal diadakan pada 18 dan 19 Februari 2025 di Hotel Pullman, Miri.
SOPPOA dalam satu kenyataan memaklumkan, acara ini bertujuan untuk menangani permintaan yang semakin meningkat terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian berasaskan teknologi.
“Acara ini dijangka dihadiri pemain industri, pakar teknologi serta inovator dari seluruh dunia untuk bersama-sama meneroka penyelesaian mampan dan inovasi terkini dalam pengurusan serta pengeluaran minyak sawit.
“Ia bertujuan memupuk kerjasama erat dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan sambil memperkenalkan teknologi canggih untuk mengatasi cabaran utama yang dihadapi industri minyak sawit,” menurut kenyataan itu.
Bertemakan Penyelarasan Operasi dan Inovasi Rentas Sektor untuk Pertumbuhan Mampan, POMtec 2025 menekankan kepentingan pendekatan bersepadu dalam meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti sepanjang rantaian bekalan minyak sawit.
POMtec 2025 turut dimeriahkan dengan pameran dari pembekal dan penyedia perkhidmatan bertujuan untuk memupuk kerjasama dan memperkenalkan kemajuan teknologi untuk menangani cabaran yang dihadapi industri.
“Selain sesi perbincangan, POMtec 2025 juga akan menampilkan pameran teknologi di mana para pembekal dan penyedia perkhidmatan boleh mempamerkan produk serta penyelesaian terkini yang relevan untuk sektor minyak sawit.
“Pameran ini menyediakan peluang rangkaian yang unik dan membolehkan para peserta mencari rakan kongsi berpotensi dan meneroka penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan industri.
Selain itu, para peserta akan berpeluang bertukar pandangan mengenai pelbagai topik seperti pengeluaran benih, pengurusan tapak semaian, teknologi ladang serta sistem pemprosesan terkini.
Justeru, POMtec 2025 mencerminkan dedikasi SOPPOA dalam memacu pertumbuhan mampan industri minyak sawit dengan fokus pada inovasi, kelestarian dan produktiviti.
Acara ini juga menjadi wadah penting bagi pemimpin industri, pembuat dasar serta pembekal untuk bekerjasama dan menyumbang kepada kemajuan sektor minyak sawit.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai POMtec 2025, termasuk pendaftaran dan peluang pameran, orang ramai boleh melayari laman rasmi SOPPOA di www.soppoa.org.my/pomtec2025. -TVS