SIBU, 26 Nov: Polis giat mengesan seorang remaja perempuan, Nursyasya Izzati Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 14 November lalu.
Remaja berusia 17 tahun itu itu kali terakhir dilihat di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau Panjang, selepas memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia mahu membuang sampah.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata laporan kehilangan diterima pada 17 November dan siasatan kini sedang dijalankan.
“Mangsa pernah keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga sebelum ini, dan kejadian kali ini membimbangkan mereka.
“Kami menyeru orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kali terakhir mangsa dilihat memakai kemeja-T berkolar warna merah dan seluar panjang gelap.
“Mangsa juga berketinggian 160 cm, berambut hitam panjang, bertubuh kurus, dan berkulit hitam manis,” ujarnya.
Zulkipli berkata, usaha pencarian telah dilakukan di kawasan sekitar kediaman mangsa, namun setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Kes, Sjn Buie Mujah, di talian 012-7896246.-TVS