KUALA LUMPUR, 26 Nov: Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memastikan akan memberi keutamaan pembiayaan pendidikan kepada pelajar yang ditawarkan kursus dengan kebolehpasaran tinggi.
Timbalan Menteri Pendidkan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata PTPTN masih mengekalkan dasar peminjaman kepada pelajar yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) iaitu pada kadar penuh 100 peratus.
“Bila pendapatan (ibu bapa) di bawah RM8,000 kita akan beri sehingga 75 peratus bagi kategori yang tidak menerima STR. Gaji lebih RM8,000 kita akan berikan kadar 50 peratus.
“Mekanisme ini kita akan teruskan dan kita akan pastikan terutama pelajar kategori B40 yang menerima STR akan menerima sumbangan maksimum 100 peratus,” katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan pemberhentian pembiayaan bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang daripada 30 peratus.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata perbadanan itu sedang menimbang perkara itu sebagai sebahagian usaha untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata perkara itu akan diserahkan kepada PTPTN dan KPT tidak camput tangan berhubung urusan berkenaan. -TVS