JAKARTA, 26 Nov: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin berjaya mengeluarkan 10 mayat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Karo, Sumatera Utara.
Pasukan SAR yang dibantu oleh tentera, polis dan penduduk setempat memulakan operasi sebaik kejadian tanah runtuh berlaku selepas hujan lebat pada malam Sabtu.
Insiden itu menimbus dua rumah penduduk dan sebuah penginapan di kawasan tersebut.
Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhari, berkata semua mangsa berjaya ditemukan walaupun operasi dihentikan seketika kerana pergerakan tanah yang berisiko kepada keselamatan pasukan penyelamat.
“Operasi SAR berjaya mengeluarkan semua mangsa walaupun pasukan menghadapi cabaran besar akibat keadaan lokasi yang berbahaya,” katanya.
Kesemua mayat mangsa telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Kerja-kerja membersihkan sisa runtuhan serta membuka laluan yang tertutup masih diteruskan untuk memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap.
BNPB turut mengingatkan penduduk supaya menjauhi kawasan kejadian kerana terdapat risiko tanah runtuh susulan di lokasi yang sama.