KUALA LUMPUR, 26 Nov : Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini membentangkan laporan mengenai pengurusan MARA Inc. di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), membincangkan beberapa isu kritikal termasuk pembelian hartanah yang melibatkan nilai yang lebih tinggi daripada harga pasaran.
Menurut laporan PAC, MARA Inc. telah membeli hartanah di luar negara yang dinilai terlebih nilai, antaranya Beaumont House di London pada tahun 2014 serta hartanah di Melbourne, Australia iaitu Dudley International House, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street pada tahun 2013.
Walaupun Kementerian Kewangan (MOF) tidak meluluskan pembelian tersebut, KKDW telah merayu dan akhirnya mendapat kelulusan daripada Majlis Ekonomi pada tahun 2013.
“Kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini masih dalam perbicaraan mahkamah,” kata laporan PAC menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, PAC mengesyorkan agar KKDW, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) dan MARA Inc. memastikan setiap cadangan pelaburan hartanah, terutamanya yang melibatkan aset bernilai tinggi, mematuhi dasar terkini kerajaan.
Keutamaan harus diberikan kepada pelaburan domestik dan semua cadangan perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidak berulang.
Selain itu, PAC juga memandang serius tindakan MARA Inc. yang memohon penukaran hutang Premiera Hotel kepada ekuiti buat kali kedua setelah kali pertama pada tahun 2015.
“Ini adalah langkah yang seharusnya tidak berulang,” kata PAC, sambil menegaskan keperluan perancangan yang jelas bagi memastikan penukaran hutang kepada ekuiti memberi pulangan yang baik dan memastikan kelestarian syarikat.
Laporan ini juga menyarankan beberapa langkah pemantapan pengurusan dan pelaksanaan projek oleh MARA dan anak syarikatnya, antaranya memastikan semua projek pembangunan siap mengikut masa, kos, dan kualiti yang ditetapkan.
Di samping itu, MARA Corp diingatkan untuk lebih tegas dalam mengawal selia anak syarikat bagi memastikan ia dapat menjana keuntungan dan membayar balik hutang serta dividen seperti yang ditetapkan.
PAC turut mengesyorkan supaya MARA Inc. menggubal satu polisi penilaian hartanah yang lengkap serta menyediakan Pelan Operasi Standard (SOP) untuk penyewaan hartanah bagi mengelakkan isu tunggakan sewa. – TVS