SARIKEI, 26 Nov: Satu mekanisme sedang dirangka sebagai inisiatif penting bagi memastikan kelancaran projek rakyat di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) selain membolehkannya dilaksanakan dengan lebih efisien dan cepat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, perkara itu turut dibangkitkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu RADDA di Pusat Pentadbiran Sarikei, hari ini.
Menurutnya, kelewatan beberapa projek mungkin tidak dapat dielakkan kerana terpaksa melalui proses birokrasi sama ada pada peringkat pelaksanaan atau gerak kerja di lapangan.
“Kita (wakil rakyat) dan beberapa agensi turut bersetuju untuk melihat bagaimanakah projek ini dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.
“Dalam konteks ini, jika ada agensi melalui kesukaran pada peringkat pelaksanaan atau gerak kerja di lapangan, kita wakil rakyat juga mendapat maklum balas mereka sebelum membawa masalah itu ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui media.
Menurut Abdullah, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu RADDA bukan sekadar ‘kemahuan’ atau ‘permintaan’ wakil rakyat sebaliknya, mereka juga mahu mendengar keluhan dan kesukaran agensi yang melaksanakannya.
“Kita sedar bajet yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, bakal menampakkan pelaksanaan projek yang lebih agresif pada tahun depan dengan peruntukan lebih RM6 bilion untuk pembangunan khususnya di luar bandar.
“Bermakna banyak projek akan berlaku di pedalaman yang mungkin berdepan kekangan seperti kekurangan pegawai yang mengendalikannya sedangkan kawasan itu memerlukan pergerakan logistik yang efisen.
Beliau berkata, langkah penyelesaian segera itu perlu dilaksanakan sejajar dengan aspirasi Premier Sarawak dalam laporan Strategi Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang menegaskan “business is no more as usual” atau keadaan atau situasi perniagaan telah berubah dan tidak lagi berjalan seperti biasa.
Katanya, ia menggambarkan keadaan yang tidak menentu atau mencabar atau dalam erti kata lain pendekatan atau cara kerja yang digunakan sebelum ini tidak lagi relevan.
“Tidak dinafikan kebanyakan wakil rakyat sering menghadapi tekanan hebat masyarakat yang mahu pelaksanaan segera setiap projek atau kemudahan awam yang dipohon mereka.
“Pada masa yang sama, kita (wakil rakyat) turut bersikap tegas terhadap pegawai-pegawai yang terlibat dalam proses perlaksanaan projek tersebut,” tegasnya.
Hadir sama, Pengerusi RADDA, Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.