KUALA LUMPUR, 26 Nov: Malaysia kini semakin hampir untuk menjadi salah satu pengeluar utama Sustainable Aviation Fuel (SAF), bahan api penerbangan mampan yang dapat menyokong inisiatif global dalam mengurangkan pelepasan karbon sektor penerbangan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Johari Abdul Ghani, menekankan bahawa SAF bukan sahaja penting dalam pencapaian matlamat pelepasan karbon sifar bersih (net-zero) menjelang 2050, tetapi turut memiliki potensi besar untuk menggerakkan ekonomi negara.
“Selain komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050 atau net-zero by 2050, SAF juga mempunyai potensi yang besar bagi ekonomi negara terutamanya dalam mempertingkatkan pelaksanaan ekonomi kitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Khairil Nizam Khirudin (Jerantut) mengenai target
dan strategi Kerajaan bagi memposisikan Malaysia sebagai pengeluar utama Sustainable Aircraft Fuel (SAF) serantau, terutamanya dengan potensi Malaysia yang kaya dengan bio-feedstock sepertimana yang disebut oleh Air New Zealand dan laporan MIDF pada Mac lalu di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menambah bahawa Malaysia, sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, berada dalam kedudukan yang strategik untuk memanfaatkan potensi ini.
“Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia berada dalam kedudukan yang strategik untuk menjadi salah satu pengeluar SAF utama dunia,” jelasnya.
Antara bahan mentah yang berpotensi untuk digunakan dalam pengeluaran SAF adalah seperti ’empty fruit bunch’ (EFB), ‘palm oil mill effluent’ (POME), lemak haiwan, microalgae, dan minyak masak terpakai (UCO).
Johari juga menyatakan bahawa kerajaan sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan pengeluaran SAF, termasuk melalui pelaksanaan program kesedaran pengumpulan minyak masak terpakai di seluruh negara.
“Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang bekerjasama dengan PETRONAS untuk melaksanakan program kesedaran pengumpulan minyak masak terpakai.
“Program ini adalah langkah penting dalam memastikan industri pengeluar SAF memperoleh bahan mentah yang mencukupi,” tambah Johari.
Sementara itu, dua projek utama sedang berjalan bagi menyokong pengeluaran SAF di Malaysia. EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd. kini sedang membina loji penapisan dan pengeluaran SAF di Tanjung Langsat, Johor, dengan kapasiti 350,000 tan metrik setahun. PETRONAS juga sedang membangunkan loji penapisan SAF di Pengerang, Johor melalui kerjasama dengan Enilive (Itali) dan Euglena (Jepun), dengan kapasiti 650,000 tan metrik setahun.
“Malaysia dijangka akan mula mengeluarkan SAF secara mampan bermula tahun 2027. Kapasiti pengeluaran akan ditingkatkan secara berperingkat seiring dengan agenda Malaysia untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar SAF di Asia Tenggara,” katanya lagi.
Langkah ini juga selari dengan Malaysia Aviation Decarbonization Blueprint (MDB), yang bertujuan mengurangkan jejak karbon sektor penerbangan dan menjadikan negara ini pemain penting dalam industri SAF global. – TVS