KUCHING, 26 Nov: Seorang lelaki berusia 46 diberkas polis di lokasi taman BDC Jalan Stampin di sini, dipercayai bersabit kes pecah masuk kedai dan curi mengakibatkan kerugian RM14,000 di kawasan Tabuan Jaya pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, dalam tangkapan itu pihak Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching turut merampas barangan curi serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan sewaktu melakukan jenayah pecah kedai tersebut.
“Semakan mendapati kereta tersebut adalah kenderaan yang dilaporkan hilang dicuri di kawasan Taman Satria, Kuching pada 9 November lalu.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methampetamine serta memiliki enam rekod lampau melibatkan jenayah dadah dan harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil soal siasat awal didapati suspek terlibat tiga kes pecah kedai, suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut lain-lain kes pecah kedai di kawasan Kuching di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-TVS