KUCHING, 26 Nov: Tahap kesedaran ibu bapa memohon kewarganegaraan anak tak sah taraf, anak angkat serta anak jagaan mereka mula menunjukkan peningkatan ketara.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata menerusi data Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Perkara 15A Peringkat Negeri Perlembagaan Persekutuan, permohonan diterima bagi peringkat umur kanak-kanak lebih muda.
“Kita dapati bahawa umur mereka yang memohon ini semakin muda, sebelum ini permohonan diterima daripada mereka yang berumur misalnya 16, 17 dan 18 tahun, malah ada yang sudah mencecah 19 tahun dan had umur dibenarkan dalam Perkara 15A itu adalah 21 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mesyuarat bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di sini, hari ini.
Sehubungan had umur pemohon, beliau berkata baru-baru ini sudah dibentangkan di Parlimen yang menyatakan had umur pemohon diturunkan ke 18 tahun ke bawah berbanding 21 tahun ke bawah ketika ini.
“Apabila rang undang-undang itu sudah diwartakan sememangnya ia membabitkan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah sahaja,” katanya.
Menurutnya, antara faktor peningkatan tahap kesedaran adalah untuk tujuan persekolahan, akses kepada bantuan kerajaan terutama kepada anak Sarawak yang memiliki indikator ‘K’ serta akses kepada sistem perubatan yang lebih baik.
Katanya, sehingga November ini, jawatankuasa khas itu telah menerima sejumlah 36 pemohonan kewarganegaraan membabitkan 24 kanak-kanak tidak sah taraf, empat anak angkat dan lapan anak jagaan. – TVS