KUALA LUMPUR, 26 Nov: Kerajaan Malaysia bersetuju untuk melaksanakan kajian dan pindaan terhadap Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memastikan peruntukan undang-undang yang ada kini dapat disesuaikan dengan senario semasa dan keperluan terkini.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kajian ini akan meneliti beberapa aspek penting, termasuk peranan serta pemerkasaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC), serta mengatasi isu pertindihan peruntukan undang-undang strata dengan akta-akta lain yang berkaitan.
“Kerajaan MADANI, yang berpegang kepada teras kemampanan dan kesejahteraan sosial, sentiasa memastikan mutu kehidupan rakyat yang seimbang, selesa, dan harmoni.
“Dalam hal ini, pengurusan bangunan yang lebih efektif dan teratur di kediaman berstrata, termasuk yang melibatkan perumahan kos rendah, adalah antara isu yang diberi perhatian rapi oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (Pulai) pada waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya lagi, pindaan ini adalah selaras dengan komitmen untuk memastikan pengurusan strata berjalan lancar, terutamanya dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan penghuni.
Kerajaan juga mengambil kira perbandingan undang-undang antara Malaysia dan negara jiran, Singapura, yang mengawal selia pengurusan strata melalui Building Maintenance and Strata Management Act (BMSMA) 2004.
“Perbandingan ini dapat menjadi tauladan yang baik untuk diambil kira dalam penambahbaikan undang-undang negara kita,” tambahnya.
Menurut beliau, KPKT terus cakna dalam mempertingkatkan kerangka perundangan negara melalui pindaan dan kajian semula yang lebih relevan dengan keperluan semasa.
Bagi memperkasakan peranan Pesuruhjaya Bangunan (COB), beberapa cadangan sedang dipertimbangkan termasuk pemusatan COB di bawah satu jabatan persekutuan untuk pemantauan yang lebih efisien dan kajian semula struktur perjawatan COB di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kor Ming juga berkata, KPKT sedang meneliti semula peranan serta tanggungjawab COB seperti yang termaktub dalam perundangan sedia ada.
Selain itu, usaha untuk menambah baik pengurusan strata turut melibatkan beberapa aspek penting seperti pendigitalan pengurusan strata, pembangunan kompetensi COB, serta pemantauan proaktif dan penguatkuasaan responsif.
“Kami juga akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan strata dengan menerbitkan maklumat secara dalam talian untuk rujukan pihak berkepentingan,” jelasnya.
Kor Ming turut menyentuh isu penyelenggaraan bangunan yang usang akibat kegagalan pengurusan oleh pemilik atau JMB, terutamanya disebabkan kutipan caj penyelenggaraan yang rendah.
“Jika bangunan sedia ada berada dalam keadaan tidak ekonomikal untuk diperbaiki, kami menggalakkan alternatif seperti pembangunan semula skim strata,” ujarnya.
Bagi membantu pemilik yang menghadapi masalah penyelenggaraan, KPKT telah menyediakan program Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) yang meliputi pembaikan untuk perumahan kos rendah dan sederhana rendah swasta.
“JMB/MC boleh memohon peruntukan ini melalui COB di kawasan masing-masing, tertakluk kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan,” jelas beliau.
Menurut beliau, pada tahun 2024, KPKT telah menerima peruntukan sebanyak RM100.4 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif penyelenggaraan, dan di bawah Belanjawan 2025, KPKT akan memperolehi peruntukan sebanyak RM185 juta bagi menyelenggara Rumah Strata Kos Rendah dan Sederhana Awam.
“Dengan peruntukan ini, sebanyak 358 projek akan dilaksanakan untuk manfaat 392,832 komuniti strata,” katanya lagi. – TVS