KUCHING, 26 Nov: Unit Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuching melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara Rondaan Pemantauan dan Penguatkuasaan (RPP) di sekitar bandaraya Kuching semalam.
JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengesan beberapa kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.
“Antara kesalahan dilakukan termasuklah kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan beberapa kesalahan teknikal yang lain.
“Sebanyak 150 buah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 48 notis ketidakakuran telah dikeluarkan oleh Unit Operasi JPJ Kuching atas pelbagai kesalahan pada Ops Khas Motosikal,” katanya.
JPJ Negeri Sarawak menyeru agar semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang berkuatkuasa setiap masa. – TVS