WASHINGTON, 26 Nov: Seorang hakim pada Isnin membenarkan permohonan pendakwa raya untuk menolak kes penyelewengan pilihan raya terhadap Donald Trump, berikutan dasar Jabatan Kehakiman yang melarang pendakwaan terhadap presiden yang sedang berkhidmat.
Hakim Tanya Chutkan bersetuju dengan permohonan Peguam Khas Jack Smith untuk menolak kes terhadap presiden yang baru dipilih itu tanpa prejudis, bermakna ia boleh dibuka semula selepas Trump meninggalkan Rumah Putih empat tahun dari sekarang.
“Penarikan tanpa prejudis adalah wajar dalam kes ini,” kata Chutkan, sambil menambah dalam keputusannya bahawa “kekebalan yang diberikan kepada presiden yang sedang berkhidmat adalah bersifat sementara dan berakhir apabila mereka meninggalkan jawatan.”
Trump, 78, dituduh berkonspirasi untuk mengubah keputusan Pilihan Raya Presiden 2020 yang menyaksikan kekalahannya kepada Joe Biden serta membawa keluar sejumlah besar dokumen rahsia selepas meninggalkan Rumah Putih. Namun, kes tersebut tidak pernah dibicarakan.
Smith turut memohon pada Isnin untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan menolak kes dokumen rahsia yang difailkan terhadap bekas presiden itu di Florida.
Kes itu telah dibatalkan awal tahun ini oleh seorang hakim yang dilantik Trump atas alasan Smith dilantik secara tidak sah.
Peguam khas itu menghentikan kes campur tangan pilihan raya dan kes dokumen rahsia bulan ini selepas Trump mengalahkan Naib Presiden Kamala Harris dalam Pilihan Raya Presiden pada 5 November lalu.
Smith memetik dasar lama Jabatan Kehakiman yang melarang pendakwaan terhadap presiden yang sedang berkhidmat dalam permohonannya untuk menolak kes tersebut.
“Pendirian kerajaan tentang merit pendakwaan terhadap defendan tidak berubah. Tetapi keadaan telah berubah,” kata Smith dalam pemfailannya kepada Chutkan.
“Pendekatan Jabatan Kehakiman selama ini adalah bahawa Perlembagaan Amerika Syarikat melarang pendakwaan dan perbicaraan jenayah terhadap seorang presiden yang sedang berkhidmat.
“Akibatnya, pendakwaan ini mesti dihentikan sebelum defendan dilantik secara rasmi,” katanya.