BINTULU, 26 Nov: Pihak bomba melakukan khidmat khas memotong cincin yang tersekat di jari manis tangan sebelah kiri seorang lelaki di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.50 pagi.
“Setibanya mangsa di BBP Kidurong didapati benar cincin tersangkut di jari manis tangan sebelah kiri mangsa.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi memotong cincin di jari mangsa dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kerja-kerja memotong itu dijalankan mulai jam 8.53 pagi dan selesai pada jam 9.06 pagi, setelah memastikan keadaan selamat mangsa bertolak meninggalkan balai.-TVS