KUCHING, 26 Nov: Rakyat Sarawak dingatkan agar tidak terpengaruh dan percaya akan berita palsu berkaitan permohonan Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) telah dibuka.
Peringatan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerusi hantaran di Facebooknya itu menyarankan agar pengguna untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai maklumat dan pautan palsu yang dikeluarkan oleh akaun ‘Info Malaysia Ufdate’ dan ‘Malaysia Update’ di platform TikTok,” menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu, kedua-dua akaun TikTok tersebut mendakwa permohonan Bantuan SKAS Sarawak telah dibuka dan menyaran agar pengguna memohon serta menyemak status permohonan itu serta mengetahui jumlah bantuan yang akan diterima kelak.
Akaun TikTok itu juga menyaran pengguna untuk memohon melalui pautan yang dipaut yang merupakan bukan laman web rasmi Kerajaan Sarawak atau laman web khusus untuk membuat permohonan.
Terdahulu, pada 11 November lepas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2025 telah mengumumkan kerajaan memperkenalkan Bantuan SKAS untuk mengurangkan beban kewangan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata inisiatif tersebut menyediakan bantuan kewangan antara RM250 hingga RM800 setahun.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Sarawak turut berkata bantuan tersebut akan membantu mereka membeli barangan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak.
Namun sehingga kini, beliau belum mengumumkan bila permohonan bantuan itu dibuka. – TVS