KUALA LUMPUR, 26 Nov: Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) sedang meneliti cadangan untuk menetapkan dasar pemisah berkaitan tempoh menduduki kuarters kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menerusi teks jawapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata dasar itu perlu dirangka dengan teliti sebelum pelaksanaannya.
“Berdasarkan perbincangan Menteri Wilayah dengan pegawai, sekiranya exit policy dirangka, ia tidak seharusnya dilaksanakan secara simplistik seperti hanya menetapkan tempoh maksimum 10 tahun untuk penghuni.
“Sebaliknya perlu ada pertimbangan khas untuk penghuni yang mempunyai keperluan tertentu seperti faktor kesihatan atau perancangan untuk bersara dan kembali ke kampung halaman,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai usaha kerajaan memperkenal dasar pemisah kepada penghuni kuarters kerajaan.
Tambah beliau, penghuni yang mempunyai keperluan tertentu ini wajar diberi kelonggaran untuk mendiami kuarters tanpa had masa tertentu.
Menurutnya, dasar keutamaan sedia ada memberi perhatian khusus kepada penjawat awam yang menghadapi musibah atau tergolong dalam golongan kurang upaya.
“Secara prinsip, penyediaan kuarters kerajaan adalah sebagai satu kemudahan untuk kumpulan pegawai awam yang memerlukan Perintah Am Bab E yang menyatakan tiada bertanggungjawab untuk menyediakan rumah kediaman bagi pegawainya.
“Melainkan sekadar pegawai yang dikehendaki tinggal berhampiran dengan tempat kerja dan pegawai-pegawai bekerja di kawasan yang terpecil di mana rumah persendirian untuk disewa tidak diperolehi,” katanya. -TVS