PETALING JAYA, 26 Nov: Ikon nasyid terkenal tanah air, Hafiz Hamidun, kembali mewarnai industri seni dengan pelancaran album studio terbaharunya, bertajuk Haramain.
Album hasil kolaboratif dengan Sony Music Malaysia itu terinspirasi daripada pengalaman peribadinya mengunjungi Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Menurut Hafiz, album ini adalah cara untuk menghidupkan rasa rindu terhadap ibadah Haji dan Umrah.
Dengan 10 buah lagu seperti Raudah, Kota Cinta, Zamzam, dan Batu Hitam, karya ini turut mengetengahkan elemen sejarah dan spiritual dari dua kota suci umat Islam.
“10 buah lagu dalam album ini menceritakan tentang kisah dan sejarah di dua tanah haram, Mekah dan Madinah. Ada lagu tentang Kiswah, Arafah, Baqi dan Zamzam.
“Ia suatu peluang yang perlu saya ambil untuk membangkitkan rasa rindu dan keinginan untuk ke Tanah Suci menerusi lagu-lagu itu,” ujarnya.
Haramain turut mempersembahkan kolaborasi dengan kumpulan vokal terkenal Ruffedge untuk lagu Batu Hitam.
Proses rakaman album ini dilakukan di dalam dan luar negara, termasuk Istanbul, Turki, bagi mendapatkan sentuhan muzik Timur Tengah yang autentik.
Gabungan elemen nasyid moden dan akustik menjadikan album ini unik dan relevan untuk pendengar masa kini.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam dan Projek Asia Tenggara, Kenny Ong Chun Eng, menyatakan komitmen mereka untuk memartabatkan genre nasyid ke peringkat global.
“Penting bagi Sony Music Malaysia untuk mempromosi artis dan muzik tempatan ke dalam dan luar negara.
“Jadi kami ingin membawa genre nasyid dan zikir yang melambangkan keunikan yang terdapat di Malaysia.
”Nasyid merupakan genre yang patut dibanggakan dan diperluaskan,” katanya.
Album Haramain kini boleh dimuat turun melalui aplikasi penstriman muzik, manakala muzik videonya boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube rasmi HafizHamidun. -TVS