KUCHING, 26 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima Anugerah Khas 100 Tahun Jabatan Pertanian sempena sambutan ulang tahun ke-100 jabatan itu tahun ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat kepada Abang Johari pada majlis makan malam gilang gemilang sempena meraikan ulang tahun ke-100 Jabatan Pertanian Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Pada majlis itu juga, Anugerah Jasa Bakti 100 Tahun Jabatan Pertanian Sarawak disampaikan kepada 10 mantan pengarah yang menyumbang jasa dan bakti mereka sepanjang perkhidmatan.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Dr Alvin Chai Lian Kuet, Datu Lai Kui Fong, Paul Vincent Ritom, Datu Mohd Sepuan Anu dan Edwin Liew Chung Hiun.
Selain itu antara penerima lain termasuk Julaihi Ismail, Datu Henry Bakit Jantum, Andrew Tan Chiok Chiew dan Datuk Joseph Kong Teck Chong.
Anugerah tersebut turut dihadiahkan kepada mendiang William Chang Wei Say yang disampaikan kepada isterinya.
Selain penyampaian anugerah tersebut, majlis makan malam itu turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mencipta lagu Jabatan Pertanian Sarawak serta pertandingan Edible Landscape bagi dua kategori iaitu indoor dan outdoor.
Majlis Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Majlis turut dimeriahkan dengan dendangan empat lagu oleh artis terkenal tanah air kelahiran Bumi Kenyalang, Dayang Nurfaizah. – TVS