KUALA LUMPUR, 26 Nov: Sebanyak 92.7 peratus guru di seluruh negara telah memiliki profil kesejahteraan psikologi menerusi saringan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen KPM untuk memastikan kesihatan mental guru berada pada tahap optimum.
“KPM sedang membangunkan Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) yang akan mengukur kesejahteraan guru melalui pelbagai domain seperti ketersediaan dan penggunaan sumber, autonomi, serta kesejahteraan psikologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tar Kar Hing (Gopeng) pada waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina juga menjelaskan bahawa KPM terus memberi keutamaan kepada kebajikan murid dan guru, dengan menggerakkan pelbagai inisiatif seperti Saringan Minda Sihat dan Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) bagi menangani isu kesihatan mental di sekolah.
“Kami berusaha memastikan sistem sokongan yang kuat untuk murid dan guru, termasuk melalui kerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Hasanah untuk memperkasa kesihatan mental,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan bahawa KPM juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan garis panduan sistem rujukan murid yang mempunyai masalah kesihatan mental.
“Kerjasama ini adalah bagi memastikan bahawa murid yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan mental diberi rawatan yang sewajarnya.
“Bagi murid yang menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan, kami memberi bantuan segera melalui intervensi berfokus dan modul-modul seperti Modul Minda Sihat, PRISMA, dan Modul Kesihatan Mental Remaja. Ini bertujuan untuk membantu mereka mengatasi stres dan menguruskan emosi dengan lebih baik.
“Selain itu, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan psikososial di kalangan rakan sebaya, saling membantu dan memberi sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.
Tegas beliau, keutamaan KPM adalah untuk mencipta satu ekosistem psikososial yang kukuh di sekolah, dengan memberi perhatian serius terhadap isu saringan, intervensi, serta melibatkan ibu bapa dan pakar-pakar kesihatan mental dalam proses penjagaan kesejahteraan murid. – TVS